Segala-galanya bermula sejak dia berusia 15 tahun lagi. Ketika di bangku sekolah lagi, Nurul telah mula menunjukkan minat di dalam bidang nyanyian. Dia bersama-sama dengan rakan-rakan lelakinya yang lain juga telah menubuhkan sebuah kumpulan yang diberi nama Istilah, di mana Nurul yang bertindak sebagai penyanyi utamanya.
Nurul banyak menyertai pertandingan-pertandingan nyanyian dan sering mengikuti kumpulan muzik polis hutan mengadakan persembahan di sekitar Kulim, Kedah. Dia juga pernah menyertai Pertandingan Asia Bagus ketika tahun 1991. Ketika itu Nurul baru sahaja berumur 14 tahun.
Tanpa diduga impian yang terpendam selama ini akhirnya menjadi kenyataan. Ketika berusia 17 tahun, pihak BMG Music melamar Nurul menjadi artis rakaman syarikat mereka. Nurul yang sememangnya menantikan peluang keemasan ini. Beliau pastinya menerima lamaran tersebut dan merakamkan albumnya yang pertama berjudul 'Nurul'.
Langkah demi langkah diatur dalam dunia yang penuh dengan pancaroba ini. Walaupun beberapa kali terpaksa menghadapi gosip dan pelbagai cabaran lain, namun Nurul tidak gentar menghadapinya. Semua itu dianggap sebagai asam garam kehidupan dunia seorang artis. Namun, ada kalanya kesabarannya sebagai seorang manusia biasa tergugat juga sehingga pernah sekali dia menitiskan air mata ketika sedang menyanyi berduet bersama suaminya Ajai.
Kini Nurul sibuk dengan proses rakaman untuk album keempat secara duet bersama suaminya. Walau apa yang berlaku Nurul terus tabah menghadapinya bersama dorongan dari suami tercinta dan semangat dari anaknya Ayu Nazirah.