

SEBAGAI anak Malaysia, walaupun dilahirkan selepas negara mengecap nikmat kemerdekaan, namun Azza, Nana dan Atie tidak pernah melupakan ketibaan detik 31 Ogos. Ketibaan hari bersejarah negara itu menyedarkan mereka betapa berharganya dilahirkan dalam sebuah negara yang aman dan harmoni diterajui pula pemimpin berwibawa.
Slogan Keranamu Malaysia mengukuhkan jati diri mereka dan menyemarakkan semangat cintakan negara, agama dan bangsa. Semangat itu menyuntikkan keberanian dalam diri mereka untuk berkorban apa saja demi mempertahankan negara yang dicintai.
Kata-kata itu bukan sekadar luahan. Mereka menyedari, sebagai anak seni, tidak terlepas dari tanggungjawab untuk memastikan keharmonian bumi Malaysia. Dalam hati mereka sudah tertanam tekad untuk melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu.
Ini kerana sebagai pelapis, mereka bertanggungjawab untuk memenuhi wawasan negara.
Semangat patriotisme itu seharusnya berterusan, Ia tidak hanya terbatas menjelang sambutan ulang tahun kemerdekaan negara saja. Ia perlu ditanam dalam diri sebagai peringatan bahawa setiap kita ada tanggungjawab terhadap negara.
Anak seni juga tidak terkecuali kerana kami ada cara tersendiri untuk meluahkan rasa cinta kami terhadap kebebasan. Menerusi karya seni seperti lagu, drama berbentuk patriotik dan pengajaran, malah kata-kata nasihat adalah salah satu bentuk sumbangan kami kepada negara. Inilah sumbangan kecil kami, harap dapat meninggalkan kesan kepada peminat, kata anak kelahiran ibu kota yang sudah bergelar pengacara program masakan, Sari Rasa.
Sebagai generasi muda, Azza, 21, begitu menghargai perjuangan pemimpin terdahulu. Anak bongsu dari empat beradik itu terharu dengan pengorbanan pemimpin terdahulu yang rela berkorban harta dan nyawa untuk melihat tanah air tercinta bebas daripada belenggu penjajahan.
Nikmat kemerdekaan dan kebebasan yang dirasai hari ini adalah hasil titisan peluh dan darah mereka. Tidak terbalas jasa mereka. Menjadi tanggungjawab semua untuk memelihara harta bernilai ini, katanya.
Semangat Azza turut dikongsi bersama Nana. Anak kelahiran Muar, Johor itu berkata, ketibaan 31 Ogos disambut bersama sepotong doa, Rahmat keamanan yang dinikmati akan berkekalan dan terus dipertahankan.
Gadis bersuara serak itu bersyukur kerana masyarakat Malaysia terus dilimpahi pelbagai kemajuan dan kemodenan teknologi. Namun, pengaruh itu tidak pernah melekakan Nana daripada mengingati keperitan yang terpaksa ditempuhi tokoh terdahulu.
Nikmat itu, kata Nana, dirasai atas kepayahan dan tidak harus dikhianati. Justeru, pesanan ayah tercinta sentiasa mengingatkan anak perempuan tunggal dalam keluarga empat beradik ini, untuk berusaha bersungguh-sungguh mencapai apa yang diimpikan.
Pesan abah, setiap kerja perlu dilakukan dengan hati bersih dan fikiran yang positif. Dia mengingatkan Nana supaya tidak takut mencuba kerana tidak berhutang dengan sesiapa.
Semangat itulah yang memberi kekuatan kepada Nana untuk menapak dalam bidang seni. Impian Nana, dengan bakat yang ada, ingin mengharumkan nama negara. Bidang seni juga dapat memberi sumbangan untuk menaikkan nama dan ekonomi negara, katanya.
Sebagai remaja berwawasan, Nana sentiasa berusaha melengkapkan dirinya dengan pelbagai pengetahuan. Walaupun terkilan kerana terpaksa menangguhkan sementara pengajian dalam bidang Perniagaan Teknologi Maklumat, Nana bersyukur kerana AF juga memberinya peluang mendalami sesuatu yang baru.
Pun begitu, apabila tiba masanya Nana akan meneruskan semula pengajian yang tertangguh itu. Nana tidak mahu mengabaikan usia muda tanpa bekalan masa depan kerana memang cintakan pelajaran, katanya.
Sementara itu, Atie pula berkata bebas dari penjajahan minda juga adalah satu pencapaian negara. Gadis dari Bentong, Pahang itu, berkata Malaysia bertuah kerana mempunyai pemimpin terbaik untuk meneruskan pembangunan negara.
Hasil kepimpinan mereka, Malaysia kini menjadi negara yang dikagumi dunia. Bangga dilahirkan di negara ini kerana setiap bangsa punya ruang untuk menonjolkan kepimpinan mereka.
Tidak perlu lihat jauh. AF sendiri menyaksikan keharmonian masyarakat majmuk Malaysia dengan adanya peserta bukan Melayu seperti Vince dan Burn. Mereka mendapat sokongan padu semua setiap kali membuat persembahan.
Komuniti kecil AF adalah bukti masyarakat kita bersatu padu dan saling membantu bagi menghasilkan yang terbaik. Ini adalah kebanggaan, hasil usaha pemimpin terdahulu yang mengingatkan supaya menghargai kemerdekaan negara, katanya.
Atie berkelulusan Seni Persembahan berkata, dia rela mengorbankan dirinya untuk berjuang dan membantu mereka yang memerlukan. Malah, Atie memberitahu, dia rela mati di perbatasan demi mempertahankan agama dan negara.
Menjawab satu soalan lain, Atie melahirkan rasa terharunya kerana dia bersama 11 lagi rakannya diberi peluang menjayakan Konsert Suria Merdeka KLCC 2003 semalam bersama artis terkemuka lain.
Sambutan merdeka tahun ini membawa perubahan besar dalam diri Atie dan rakan-rakan. Pada malam itu, kami sudah memberikan yang terbaik sebagai penghargaan kepada semua peminat yang memberi sokongan selama ini. Kami cukup terharu, katanya, berbangga kerana AF membentuk sebuah keluarga besar yang harmoni dan bersatu hati.
|